Labels

Translate

Saturday 25 June 2016

SAMPLE GATE, IU, BLOOMINGTON



SEKEPING KAD PENGHUBUNG SEBUAH KISAH

RAMADHAN TAHUN 1994... .
       
Kehidupan  aku di daerah ini waktu itu telah menjangkau satu tahun.  Universiti Indiana ini adalah tempat pertemuan kami pelajar-pelajar Melayu dari pelbagai latar belakang, dan sebuah daerah yang banyak mencipta kisah suka duka yang menggamit nostalgia.    

     Setahun di perantauan, kerinduan pada kampung halaman mula terasa. Kala Ramadan menjengok di celah kehidupan kami di sini, senyuman emak dan ayah, serta redupnya pandangan tua mereka...   mula berbayang di mata.  Satu kerinduan yang bagai tiada noktah...bukan hanya pada aku seorang, tetapi juga pada pelajar-pelajar Melayu yang lain.

     Sebagai pelajar yang baru berjinak-jinak dengan bidang seni lukisan, semua perasaan itu ku lakarkan dalam bentuk sekeping kad hari raya.  Bagiku, itulah salah satu cara pengubat rasa rindu yang tidak pernah padam.  Sekurang-kurangnya rakan-rakanku di sini juga turut sama menghantar kad raya ini pada keluarga tercinta...apatah lagi waktu itu belum wujud applikasi-aplikasi sosial seperti facebook dan sebagainya.  Itulah niatku, yang tidak ku sangka akan menjadi sesuatu yang sangat bermakna dalam hidupku suatu hari nanti.

     Abang Ajis seperti biasa adalah penyokong kuatku di dalam apa-apa perkara yang ingin kulakukan.  Dialah yang dari awal banyak membantu, baik dari segi memberi semangat, sehinggalah ketika mahu merealisasikan karyaku dalam bentuk cetakan.  Karya ini, ku jadikan paling bermakna  bagi kami semua di sini.  Dan....apakah sesuatu yang sangat bermakna yang harus ku abadikan dalam kad raya itu?  Itulah yang harus aku fikirkan.  Di daerah yang menghimpun manusia dari serata pelusuk dunia ini, apakah mercu tanda yang mengikat kami semua....  Semakin aku fikirkan, semakin yakin aku pada firasatku sendiri  bahawa Sample Gate itulah mercu tandanya.  Itulah tumpuan kami semua tatkala ingin bergambar kenangan. Itu jugalah objek yang ada di mana-mana bahan bercetak yang memperihalkan tentang universiti agam ini.  

     Paling tidak ku lupakan, betapa Abang Ajis dengan penuh yakin dan gembira, membawa aku ke sana sini, sewaktu aku cuba mencari syarikat percetakan yang sanggup mencetak kad rayaku ini.  Sehingga ke hari ini...bila ku fikirkan semula...tidak dapat ku cari logiknya...apa yang membuatkan dia begitu yakin padaku...ataupun memang itulah sifat manis Abang Ajis, menjadi pembantu kepada siapa sahaja, sehingga lupa pada kepentingan dan kehendak sendiri!

     Masa berlalu...kehidupan bagaikan berlari tanpa menunggu sesiapa pun.  Aku kembali ke Malaysia setelah tamat pengajianku...meneruskan hidupku selayaknya seperti orang-orang lain. Melupakan minatku terhadap seni yang indah ini...dan dengan secara tidak rasmi, terputuslah hubunganku dengan abang yang amat ku hormati ini...

raya greeting card Malaysia
 -  Lukisan Warna Air (117mm x 124mm)
     Tahun berlalu, bersama-sama menghembus ingatanku kembali kepada dia.  Aku cuba mencari Abang Ajis melalui beberapa sahabat yang masih berhubung denganku...namun tiada siapa yang tahu berita tentang dia.  Masih dalam keadaan tertanya-tanya dan sedikit hampa, perasaan itu kubiarkan...   Sehinggalah baru-baru ini...

     Suatu hari aku mendapat mesej melalui aplikasi Whatsapp...dari seorang sahabat yang pernah sama-sama belajar di Indiana.  Dia kini merupakan seorang novelis, dan pernah menerbitkan sebuah novel berkaitan kehidupan pelajar-pelajar di Indiana.  Melalui novel inilah, aku telah mendapat alamat e-mel dia...lalu menghubunginya empat tahun yang lalu.  Dan melalui e-mel ku pula,  dia mendapat nombor telefonku, dan menghubungiku empat tahun kemudian!

     Rupa-rupanya, novelis ini juga seorang pelukis...dan aku dihubungi kerana dia telah menyimpan karyaku yang pernah ku hasilkan lebih 22 tahun yang lalu, dan karya dalam bentuk kad itu telah hilang dari simpanannya.  Rupa-rupanya, karya kecilku itu sangat bernilai tinggi di pandangan matanya...suatu hakikat yang tidak pernah kubayangkan di fikiran.

     Tidak ku sangka karya kecil itu menghubungkan semula persahabatan yang terputus sebegitu lama... .

     Dalam perbincanganku dengan dia, kami bertukar-tukar cerita tentang kawan-kawan lama.  Lalu, ingatan lamaku tentang Abang Ajis, telah menjadikan ia sebagai antara soalan terawal yang terlontar keluar dari fikiranku.

     "Nurol masih ingat abang yang lama di Cottage Grove..., Abang Ajis...?"

     Aku menunggu balasan dari dia.  Seketika kemudian, aku terbaca mesejnya yang sukar kucerna dengan akalku yang terbatas.

     "Ya, saya kenal baik dengan arwah... ."

      Arwah?  Aku terpaksa merenung tulisan itu agak lama.

     "Arwah....Apa maksud Nurol...?" bergetar jiwaku tatkala menaip patah-patah pertanyaan itu.

     "Lan tak tahu...?"  timbul pertanyaan itu dari dia.

     "Tahu apa...?"  Aku bingung.  Tiada apa-apa gagasan yang mampu mengembalikan aku ke alam nyata di kala itu.

     "Abang Ajis dah tak ada..."
      
     Apakah ini hujung kepada pencarianku?  Inikah jawapan kepada pertanyaan-pertanyaanku tentang seorang abang yang sentiasa di ingatanku?

     "Saya tahu dari beberapa pembaca novel yang menghubungi saya melalui e-mel.  Abang Ajis banyak bantu saya....  Sewaktu saya tahu berita ini, saya menangis...."

     Itulah...bukan aku seorang yang merasa pengalaman bersahabat dengan abang yang penuh kenangan itu.  Siapa pun yang pernah mengenalinya, ada cerita manis tentang dia.  Dia yang sentiasa ada di dalam doa-doaku.  Hanya Allah yang mampu membalas semua kebaikannya, tatkala aku tidak berkesempatan... .

     Kad raya berlatarkan Sample Gate yang penuh kisah ini, akan ku simpan sehingga ke penghujung umurku.  Satu karya kecil yang menghimpun beberapa kisah suka duka dalam hidup beberapa orang di antara kami.  Semoga Allah merahmati dia di sana....  Amin.

-  seperti yang diceritakan kembali oleh novelis Nurulsham Saidin.


Nota:  Abang Ajis sejak mudanya telah berada di Indiana dan tidak pulang-pulang ke Malaysia. Sewaktu kami mengenali beliau, umur beliau sudah pun berada di sekitar empat puluhan.  Beliau sangat terkenal dengan kemahiran memasak.  Sepanjang berada di Indiana, beliaulah yang banyak membuat catering untuk pelajar-pelajar Melayu yang belajar di high school, dan juga untuk program-program masjid.

Bagi pelajar-pelajar yang pernah berkesempatan hidup di Indiana, kewujudan Abang Ajis telah menjadi sinonim dengan Cottage Grove.  Ramai yang tahu tentang beliau.

Beliau tetap berada di Indiana sehingga lewat umur.  Pada saat-saat terakhir beliau di sana, Abang Ajis telah menderita sakit teruk.  Beberapa orang pelajar Melayu di situ telah mengusahakan untuk membawa beliau pulang ke Malaysia.  Beliau meninggal setelah sebulan berada di tanahair. Kejadian ini berlaku di sekitar tahun 2011 (anggaran).  Sekiranya ada di antara pembaca yang tahu tentang kejadian sebenar, mohon dapat berkongsi dengan kami.

Semoga roh beliau di tempatkan di kalangan orang-orang soleh.  Amin... 



2 comments:

  1. Al Fatihah utk Abg Ajis.. moga segala kebaikan yg ditinggalkan terus menjadi pohon subur yg membuahkan bahagia utk ruhnya di sana..

    ReplyDelete
  2. Semoga terus maju dan selamat berkarya.

    ReplyDelete