Labels

Translate

Tuesday 28 June 2016

REZEKI DARI ALAM


 - Lukisan Warna Air (13 in. x 20 in.)


REZEKI DARI ALAM


SEBUAH LUKISAN YANG MENGAJAR ERTI KEHIDUPAN

   
Tidak pernah terlintas di fikiran kerdilku, betapa berpusingnya kehidupanku.  Apa yang suatu masa dahulu ku bayangkan bakal mewarnaiku kehidupan, tidak seperti yang ku hajatkan.  Ia hanya bak mimpi yang manis untuk dikenang, tetapi amat pahit untuk ditelan.

     Sesungguhnya waktu anak-anaklah yang paling indah.  Suatu waktu di mana aku masih kaya dengan kasih ayah dan ibu.  Tidak pernah muncul rasa khuatir atau takut, kerana mereka sentiasa ada di situ. 

     Aku adalah seorang anak kecil yang mencintai alam. Aku sukakan kehijauan yang kaya pada waktu itu. Aku sukakan bunyi-bunyi unggas di hutan. Hidupku bebas dengan warna-warna alam.

     Kecintaan pada alam itu, ku realisasikan dalam bentuk yang tersasar.  Sebagai anak kecil yang masih terlalu mentah dengan erti hidup, burung-burung di hutan ku jadikan mangsa lastikku.  Wah! Bahagianya aku pada waktu itu, kerana tidak pernah faham natijah dari perbuatanku.... .

     Namun, lama-kelamaan...aku faham sendiri, setelah ditegur ayah.  Mungkin keremajaan itu membuatkan aku lebih berfikir.  Lalu kecintaanku pada alam ku salurkan ke satu lagi cara yang lebih mulia pada firasatku.  Aku mula melukis unggas-unggas di hutan.  Aku mula mencari bahan-bahan seperti buku-buku yang mengajarku ilmu melukis dan mewarna.  Aku mula mencari idola untuk ku jadikan ikutan.  Dan...satu-satunya pelukis yang menarik minatku adalah Tuan Jaafar Taib, yang begitu halus seni lukisannya tatkala menggambarkan alam dan kehidupan.

     Tuhan...bahagianya aku dengan apa yang Kau anugerahkan padaku, untuk ku layari hidup ini sekadar adanya... 

     Dengan bakat yang ada padaku, aku bercita-cita untuk meneruskan pengajianku dalam bidang kejuruteraan.  Namun, bukan semua yang kita cita-citakan itu mampu berhasil.  Ada kalanya, kehendak itu sudah cukup kuat, tetapi situasi sekeliling sama keras menghalang.  Lalu aku kalah di situ, dan terpaksa melupakan impianku itu.  Kala itu aku belajar untuk redha, lalu meneruskan kehidupanku menurut arus, tanpa mempersoalkan apa-apa.

     Aku meneruskan pengajianku dan bidang biokimia di Indiana University...satu bidang yang agak jauh lari dari kecintaan asalku.  Namun, minatku dalam seni lukisan alam ini ku teruskan.  Kala itulah, lukisan burung bayan ini, yang ku namakan REZEKI DARI ALAM,  aku hasilkan...iaitu pada tahun 1992.

     Tidak pernah terlintas di fikiranku, bahawa lukisan yang ku hasilkan dengan fikiran mudaku yang belum mengerti...pada suatu masa kemudiannya...mengajarku untuk hidup dengan begitu bererti!

     Sesungguhnya badai kehidupan itu tidak pernah dijangka sesiapa, termasuklah aku.  Pada tahun 2012, aku hilang pekerjaan setelah bertahun-tahun merasa kehidupan yang agak selesa.  Lalu aku kembali mencari kerja-kerja kecil untuk dibuat.  Dengan bakat yang ada, aku mencuba kembali nasibku sebagai pereka grafik bebas (freelance graphic designer).  Maka langit itu mula mendung. Hidup mula rasa terhimpit di luar dan di kotak fikiran.  Walaupun aku dianugerahi bakat dalam melukis, namun aku tiada bakat dalam meminta.... Aduh...berat sungguh mulutku, tatkala mahu meletak harga atas setiap urusanku.  Lalu arus itu terus membawa hidupku seadanya... 

     Suatu ketika, aku bertemu kembali dengan seorang sahabat lama.  A adalah seorang networker yang terlalu sibuk dengan urusan perniagaannya.  Sewaktu kami bertemu, dia dalam keadaan hilang arah kerana terbeban dengan masalah yang ditinggalkan orang atasan.  Lalu untuk menyelesaikan masalah itu, dia bekerja dengan begitu kuat, berkejar dari utara ke selatan tanah air untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul.  Sehingga pada suatu masa, dia bagaikan mengalah dengan arus kuat yang menghentam.

     Dalam satu pertemuan yang berikutnya, dia telah melihat lukisanku ini.  Entah bagaimana, hatinya bagai diikat.  Ada sesuatu di lukisan itu yang menjentik rasanya.  Lalu aku dapat merasakan sinar mula timbul pada semangatnya yang mula pudar.

     "Buah rambai itu nampak sedap."

     Aku serta merta kagum.  Setakat ini, belum pernah aku mendapat  komen yang sedemikian. Belum ada sesiapa sebelum ini yang mengenali jenis buah apakah yang sedang dinikmati sang burung bayan berempat.  Dialah orang pertama yang mengenali buah rambai dalam lukisan itu.

     "Bagaimana awak boleh kenal itu buah rambai?"  aku cuba menduga.

     "Buah ni banyak di kampung. Di dusun arwah bapa pun ada...."

     Tidak pernah kusangka, setelah melihat lukisan kecil ini, dia telah pulang ke kampung,  tidak mempedulikan kesibukan perniagaan dan kehendak-kehendak orang atasan dan bawahan dalam perniagaan networkingnya, lalu membawa anak-anaknya meneroka dusun durian tua arwah bapanya.  
     Lalu tidak lama kemudian aku mendapat nota ini...,

     "Terima kasih sahabat.  Aku telah terlalu lama lupa akan bahagia yang ada di hadapan mata. Melihat anak-anak bermain pasir di sungai kecil di dusun ini...rupanya ia adakah kebahagiaan yang tidak boleh dibeli walau dibayar dengan semua wang yang aku ada.  Terlalu lama mereka kuabaikan, dan aku amat menyesal....  Bodohnya aku, mengejar kebendaan yang tidak  pernah kenal rasa kasihan padaku.

     Lukisan itu, kau simpankan untukku... andai tiada sesiapa yang memintanya darimu.  Terlalu besar ertinya padaku.  Sesungguhnya aku lupa, bahawa rezeki Allah itu amat luas.  Untuk sesiapa sahaja, samada manusia mahupun haiwan seperti burung bayan itu.  Lalu aku terkongkong dengan akalku yang sempit tentang hakikat mencari rezeki hingga melupakan anugerah bahagia yang Allah beri di hadapan mataku.

     Aku terpana.  Tidak kusangka besarnya impak dari lukisan ini untuk orang seperti dia.  Adakah itu ilham yang Allah lorongkan melalui karya ini untuk dia.  Dan...apa pula pengertian yang aku dapat.... Lalu...lama aku berfikir, menyambung kembali fikiran-fikiranku yang setakat ini belum berpenghujung.

     Aku mula faham, sesungguhnya rezeki Allah itu amat luas dan tidak terbatas...yang telah tersedia untuk semua makhluk ciptaannya.  Tatkala aku bergelut untuk mencari rezeki, dan merasa terlalu sukar...aku sering terlupa akan hakikat itu.  Aku sendiri yang seharusnya tidak membataskan diriku. Aku yang harus membuka peluang untuk diriku, dan memecahkan tembok-tembok yang selama ini menghalang di sekelilingku.  Perkara-perkara yang ku rasakan sukar...kerana bukan diriku yang sebenar menurut firasatku, harus ku redah juga.  Bukankah Allah itu Maha Melihat...?  Tatkala Allah melihat, aku yakin aku tidak dibiarkanNya sendirian....

     Lukisan ini, akan ku amanahkan kepada dia.  Kerana aku yakin dia akan menjaganya sebagaimana kasihnya aku terhadap karyaku itu.  Langkah kaki ini, walaupun masih gementar, akan kuteruskan jua.  Hanya doa kalian yang mengiringi aku.  Doakan aku.  Aku ingin berkarya semampuku, selagi diberi kudrat oleh Tuhan.  Amin....


- Seperti yang diceritakan kembali oleh Novelis Nurulsham Saidin



REZEKI DARI ALAM


Lukisan asal ini telah pudar warnanya.  Di sebelah sisi kanan atas lukisan, kelihatan kertas ini telah dimamah ulat.  Lukisan ini sebenarnya belum sempat siap, namun salah seorang ahli keluarga pelukis telah melilinkannya, lalu lukisan ini tidak dapat diteruskan.  Pada tahun 2016, timbul idea untuk membaiki lukisan ini dengan menggunakan warna minyak, dengan kefahaman bahawa kualiti lukisan air tetap dikekalkan.  Untuk ini, banyak warna putih digunakan untuk menimbulkan kesan berbalam seperti yang biasa dilihat  pada warna air.


No comments:

Post a Comment